PRU15: Pemilihan Edwin Banta Sebagai Calon GPS Parlimen Selangau Tepat

RABU, 9 NOVEMBER 2022

SIBU: Pemilihan Edwin Banta sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Selangau adalah tepat. 

Naib Presiden Kanan Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk John Sikie Tayai berkata, beliau seorang yang mempunyai sikap kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti. 

Katanya, biarpun tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2011 dan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) beliau tidak berkecil hati. 

“Biarpun tidak dipilih, beliau terus bersabar dan tetap menunjukkan kesetiaan kepada parti. 

“Beliau juga terus memberikan perkhidmatan kepada masyarakat sepanjang tempoh itu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS Parlimen Selangau  di Rumah John Antieng, Pasai Song, pada Isnin. 

Dalam pada itu, Datuk John Sikie mengingatkan jentera untuk terus bertemu masyarakat dan menerangkan polisi dan manifesto GPS. 

Beliau juga meminta setiap ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dan tuai rumah untuk memberitahu setiap anak buah mereka turun mengundi pada 19 November nanti. 

Hadir sama Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan dan Senator Rita Sarimah Patrick Insol.-EDISI UKAS

add comment