Isu Tempat Letak Kereta Hospital Bintulu Sedang Diteliti

KHAMIS, 10 NOVEMBER 2022

BINTULU: Penelitian secara terperinci dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan dengan isu tempat letak kereta di Hospital Bintulu kini sedang dilakukan.

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing berkata, jalan penyelesaian terbaik dan perancangan rapi perlu diatur dengan lebih terperinci bagi mengatasi masalah tersebut.

Katanya, ia perlu mengambil kira faktor geografi hospital tersebut yang berbukit dan memiliki keluasan kawasan yang terhad.

“Justeru, semua pihak berkaitan mesti melihat dari segi aspek kawasan tadahan air berhampiran yang mana ia perlu dibincangkan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) sama ada ia sesuai dibina semula atau dirobohkan.

“Pada masa yang sama, terdapat perancangan untuk mewujudkan tempat letak kereta di bahagian bawah hospital dan tingkat atas pula merupakan tempat rawatan, wad dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Selain itu, beliau menegaskan, langkah menyelesaikan isu tersebut perlu bersifat jangka panjang untuk memastikan keselesaan dan kemudahan penduduk di Bintulu pada masa hadapan.

Tambah beliau, prasarana dan fasiliti hospital juga harus terus ditingkatkan mengikut keperluan semasa penduduk di bahagian itu agar mampu memberi perkhidmatan terbaik.

Dalam pada itu ujarnya lagi, sekiranya masih diberi mandat menjadi Ahli Parlimen Bintulu pada penggal keenam kelak, beliau akan mencadangkan supaya Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) mengenalpasti tapak pembinaan hospital yang sesuai di Samalaju termasuk balai bomba dan balai polis.

“Pembinaan kemudahan sedemikian di Samalaju akan memudahkan tugas menyelamat dan memadam kebakaran khususnya yang berlaku di kawasan perindustrian itu tanpa bergantung sepenuhnya kepada kemudahan di pusat bandar Bintulu yang jelas mengambil masa,” jelasnya lagi.-Edisi UKAS

add comment