Pihak Berkaitan Perlu Cari Jalan Penyelesaian Segera Projek Pembinaan Sistem Perparitan Di Kampung Assyakirin Fasa 2

KHAMIS, 10 NOVEMBER 2022

BINTULU: Pihak berkaitan digesa mengadakan perbincangan bersama bagi menyelesaikan kerja-kerja pembinaan sistem perparitan di Kampung Assyakirin Fasa 2 yang tergendala.

Menurut Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang, satu tindakan segera perlu diputuskan mencari jalan penyelesaian sebelum tibanya musim tengkujuh pada hujung bulan ini atau awal Disember depan sekali gus memgelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Saya minta pihak bertanggungjawab mengadakan mesyuarat untuk agensi-agensi yang berkaitan untuk menyelesaikan perkara ini. Saya tidak mahu, apabila sudah banjir, baru hendak mencari jalan penyelesaian. 

“Kita perlu bersiap sedia kerana musim tengkujuh akan tiba tidak lama lagi. Saya tidak mahu ada alasan ‘projek sakit’, sebaliknya kita mesti bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media semasa meninjau kerja-kerja pembinaan sistem perparitan itu di Kampung Assyakirin Fasa 2 di sini, baru-baru ini.

Johnny menzahirkan rasa terkejut kerana baharu sahaja mengetahui projek sakit itu telah tergendala selama setahun. 

“Kita melihat banyak isu, jadi tidak hairanlah rakyat sering menyalahkan dan mengeluh.

“Kami (Pusat Khidmat Tanjong Batu) tidak pernah dimaklumkan mengenai masalah sebesar ini,” ujarnya. -EDISI UKAS

add comment