Kerajaan Sarawak Kaji Semula Elaun Guru KAFA

JUMAAT, 11 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak mempertimbangkan untuk mengkaji semula elaun yang diberikan kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) untuk berbincang mengenai perkara berkenaan.

Jelasnya, Sarawak mempunyai perancangan pada masa hadapan untuk mewujudkan sistem pemberian elaun kepada guru KAFA dan guru terlatih menerusi institusi yang diiktiraf oleh pihak kerajaan.

“Mungkin kelak ada sistem kita sendiri untuk memberikan elaun kepada guru KAFA termasuk guru terlatih di atas institusi yang diiktiraf oleh kerajaan.

“Jadi sama-sama kita berdoa supaya negeri Sarawak bertambah dana sekaligus dapat menambah elaun daripada kerajaan Persekutuan kepada para guru KAFA.

“Saya akan kaji dengan pihak JAIS bagaimana kita hendak menambahkan sikit elaun sebagai satu ganjaran daripada sistem perkhidmatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Program Randau Belia Islam di Dewan Kompleks Islam Sarawak, Kuching pada Jumaat.

Premier Sarawak menambah, kerajaan Sarawak juga dalam perancangan untuk mewujudkan Fakulti Islam dalam universiti tempatan Sarawak.

Ujarnya, ia adalah perancangan beliau dengan berdasarkan institusi pengajian Islam swasta sepenuh masa di Singapura iaitu Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha, Mufti Negeri Sarawak, Datu Kipli Yassin, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Khalidi Ibrahim dan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie.-EDISI UKAS

add comment