Kerajaan Sarawak Sedia RM200 Juta Bina Kampus Baharu Kolej Universiti i-CATS

JUMAAT, 11 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana lebih RM200 juta bagi pembinaan kampus baharu Kolej Universiti i-CATS berhampiran Kampung Trombol, Telaga Air di sini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, pembinaan kampus baharu tersebut akan dilaksanakan bermula tahun hadapan.

Menurutnya, pembinaan kampus baharu berkenaan bermatlamatkan untuk menawarkan lebih banyak peluang pendidikan kepada rakyat Sarawak tanpa mengira kaum.

“Kita pilih Trombol kerana ia adalah untuk pelajar Sarawak disebabkan ia terletak di tepi laut. Kita pun nak berseronok sikit-sikit dengan angin laut. Kalau kita belajar sahaja, kita jadi bosan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Randau Belia Islam bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan kompleks Islam di sini pada Jumaat.

Menjelas lanjut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, kos pembinaan kampus baharu itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak yang memiliki pendapatan sendiri untuk membangunkan negeri ini.

“Sejak saya menjadi pemimpin anda selama empat tahun, pendapatan Sarawak bertambah satu kali ganda. Sepanjang 40 tahun karier saya sebagai pemimpin, pendapatan negeri yang tertinggi saya lihat ialah RM6 bilion tetapi pada hari ini nilainya ialah RM10 bilion.

“Sebab itu saya berani buat kampus baharu Kolej Universiti i-CATS di Kampung Trombol kerana kita sudah mempunyai duit,” jelas beliau lagi.

Tambah Premier Sarawak, dengan siapnya kampus baharu itu nanti, ia akan menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat negeri ini untuk menimba ilmu dan kemahiran mereka.

Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu, hasil daripada peningkatan pendapatan, kerajaan Sarawak telah mengambil alih dan memiliki 100 peratus aset Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu dan menaik taraf iCats sebagai kolej universiti serta meningkatkan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) sebagai pusat latihan.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Khalidi Ibrahim, dan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie.-EDISI UKAS

add comment