Daftar Entiti Perniagaan, Pemangkin Ekonomi Sarawak

SABTU, 12 NOVEMBER 2022

KUCHING : Sektor perniagaan di Sarawak mampu berkembang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata sebagai negeri terbesar di Malaysia, sektor perniagaan di negeri ini mempunyai potensi untuk membangun. 

Menurut, statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan sehingga 31 Oktober 2022, terdapat sebanyak 94,229 syarikat dan 3,158 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) di Sarawak yang telah berdaftar dengan SSM.

“Entiti-entiti perniagaan ini merupakan pemangkin kepada ekonomi negara amnya dan Negeri Sarawak khususnya. 

“Selain menjadi nadi kepada pertumbuhan ekonomi, entiti-entiti perniagaan yang didaftarkan di SSM ini juga mencipta pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Bangunan Pejabat Baharu SSM Sarawak di Kuching pada Sabtu. 

Jelasnya lagi, peluang-peluang pekerjaan yang berterusan yang ditawarkan oleh entiti-entiti perniagaan ini dapat mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kesan akibat pandemik COVID-19 serta membina semula ekonomi dengan asas yang lebih baik.

“Adalah sangat penting untuk pihak-pihak yang berkepentingan berganding bahu bersama SSM untuk mengalakkan komuniti niaga di Negeri Sarawak mendaftarkan perniagaan mereka di SSM samada melalui entiti syarikat atau entiti PLT,” ujarnya. 

Ditanya mengenai Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang dikuatkuasakan SSM tidak terpakai di Sarawak dan Sabah, Dato Sri Alexander berkata, perkara itu dalam usaha bersama kedua-dua negeri untuk membuat perbincangan supaya akta itu boleh diguna pakai di Sabah dan Sarawak. 

“Saya yakin perkara ini boleh dibincangkan agar kuasa Sarawak tidak terjejas. 

“Malah apa yang lebih penting adalah mereka yang berdaftar di bawah akta ini nanti akan mendapat banyak manfaat daripada program-program yang akan dilaksanakan oleh pihak SSM,” jelasnya dalam sidang media selepas majlis tersebut. 

Dalam majlis tersebut, Dato Sri Alexander telah menyampaikan serahan agihan Wakalah Zakat Korporat SSM serta sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM kepada 15 buah rumah kebajikan berjumlah RM75,000.

Turut hadir Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz.-EDISI UKAS 

add comment