Kota Samarahan Akan Terus Menikmati Limpahan Pembangunan

SABTU, 12 NOVEMBER 2022

KUCHING: Sesuai dengan jolokan ‘Bandar Ilmu’, Kota Samarahan akan menerima pelbagai limpahan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat untuk meningkatkan ekonomi dan perniagaan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelbagai projek pembangunan yang memberi impak secara langsung kepada rakyat akan dilaksanakan meliputi pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial.

Jelasya lagi, beliau berharap agar Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) akan melaksanakan pembangunan dan kemajuan yang sebaiknya untuk kawasan Samarahan dan terus maju pada masa akan datang.

“Ini bermakna, limpahan pembangunan akan berlaku sampai ke Kota Samarahan dalam tempoh tujuh tahun ini menjelang 2030 kelak.

“Kita dapat membangunkan ini sebab kita punya perancangan jangka panjang antara bahagian Kuching, pusat bandar Kuching dan Samarahan yang sudah pasti penjanaan pendapatan ekonomi dijangka meningkat dan melalui proses kejuruteraan semula kita akan menggunakan pendapatan itu untuk membangunkan negeri Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-6 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bertempat di Hotel Hilton pada Jumaat.

Tambah beliau lagi, bagi memastikan Samarahan layak digelar sebagai bandar ilmu, ianya perlu dirancang lebih teliti dengan mengambil kira keperluan dan aspirasi penduduk.

“Sudah tentu Kota Samarahan bakal menjadi kawasan metropolis yang moden dan menjadi kebanggan kita di negeri Sarawak

“Ini akan memberi satu imej yang baharu untuk kawasan Samarahan,” kata beliau.

Pada majlis tersebut, turut diadakan juga penyerahan sijil penghargaan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) MPKS bagi tahun 2021 kepada para penerima.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan I (Pembangunan Infrastruktur) Sarawak Ir. Aidel Lariwoo, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Dato Peter Minos serta isteri Datin Emy Minos, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Antonio Kahti Galis serta dif-dif jemputan yang lain. -EDISI UKAS

add comment