Masyarakat Di Parlimen Sibuti Terus Kekalkan Perpaduan & Maufakat

SABTU, 12 NOVEMBER 2022

SEPUPOK: Masyarakat di Parlimen Sibuti khususnya di Sepupok ini digesa terus mengekalkan perpaduan dan maufakat yang sudah terjalin sejak sekian lama. 

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini penting untuk memastikan masyarakat di Sepupok dan di Parlimen Sibuti terus dibela dan dibantu di bawah Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

“Kalau ada perbezaan pendapat, tolak tepi dahulu. Yang kita mahu ialah kita bersatu padu. Bulat air sebab pembentung, bulat nasi sebab maufakat. 

“Kita harus bermuafakat, bersatu padu dengan sokong calon GPS kita dan beri mandat yang besar kepada calon kita,” katanya. 

Beliau berucap merasmikan Penutupan Program Wanita Penjana Ekonomi dan Penyerahan Simbolik Inisiatif Kerajaan Sarawak di Rumah Selan, Skim Rancangan Sepupok di sini pada Sabtu. 

Mengulas lanjut, Dato Sri Fatimah menjelaskan di bawah Kerajaan Sarawak juga banyak inisiatif telah dilaksanakan sama ada untuk wanita, kanak-kanak dan warga emas. 

Semua inisiatif termasuk Bantuan Ibu Bersalin, Endowment Fund, Kenyalang Gold Card dan sebagainya adalah untuk kebajikan rakyat. 

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan bantuan Ibu Bersalin dan Endowment Fund kepada dua orang penerima dan juga Geran Tahunan Khas IPAKK kepada dua wakil penerima sebanyak RM5,000. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan kanak-kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus, calon GPS Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sharkawi Suhaili dan Faridah Osman. -EDISI UKAS

add comment