SABTU, 12 NOVEMBER 2022
KOTA SAMARAHAN: Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Samarahan adalah kunci penyelesaian kepada isu kesesakan pelajar di Kota Samarahan.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, sekolah baharu ini akan dapat membahagikan jumlah pelajar yang sudah padat di dua buah sekolah sedia ada.
“Saya sudah lama berazam dan berusaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan pelajar di SMK Muara Tuang dan SMK Kota Samarahan yang menjadi keluhan selama ini.
“Alhamdulillah, projek SMK Sri Samarahan ini sudahpun diluluskan pada tahun 2018 dan proses pembinaan sudahpun bermula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat tapak pembinaan SMK Sri Samarahan di Kota Samarahan, pada Jumaat.
Datuk Rubiah menambah, sekolah berkenaan bakal menempatkan seramai 1,500 orang pelajar daripada kawasan Desa Ilmu dan kawasan perkampungan meliputi Kampung Meranek sehingga Kampung Mata Parang.
Jelasnya, pembinaan yang menelan belanja sebanyak RM53.7 juta ini terletak berhampiran Kampung Meranek dan Kampung Empila dan bakal mempunyai 47 buah bilik kelas.
Mengulas mengenai SMK Muara Tuang, Rubiah berkata sejumlah RM72 juta telah diperuntukkan untuk projek gantian penuh sekolah ini.
“Projek yang dijangka bermula pada hujung tahun ini bertujuan untuk membina semula atau menggantikan bangunan sekolah yang sudah lama dan uzur.
“Ini bagi memastikan para pelajar dan guru-guru di sekolah ini dapat menjalankan sesi pembelajaran dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa”, ujarnya.
Sementara itu, Rubiah turut memaklumkan pembinaan SK Pengkalan Kuap yang menelan belanja sebanyak RM33 juta sudah siap sepenuhnya dan bakal beroperasi pada tahun hadapan. -EDISI UKAS