SABTU, 12 NOVEMBER 2022
LINGGA: Pendapatan Sarawak pada tahun 2022 mencatatkan pertambahan dua digit mencecah bilion ringgit, demikian dedah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut beliau, pertambahan tersebut membuktikan kewangan negeri ini sangat kukuh dan secara tidak langsung membuka mata dunia bahawa Sarawak mempunyai kerajaan yang pakar dalam mengurus kewangan, ekonomi termasuk mencari dana menggunakan sumber yang ada dengan bijak.
Katanya, beliau akan mengumumkan jumlah keseluruhan pendapatan Sarawak secara rasmi pada hujung bulan ini semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Saya sudah menjadi menteri lebih kurang 40 tahun di bawah Tun Taib dan Arwah Tok Nan, bajet kita yang tinggi sekali ialah RM6 Bilion.
“Dalam masa empat tahun yang lepas, Alhamdulillah rezeki kita bertambah, bajet kita RM10 bilion.. dua kali ganda. Sebab kita dapat mencari dana pendapatan kita lebih. Tahun ini, lebih lagi.
“Dulu orang cakap Sarawak akan muflis dalam masa tiga tahun. Saya sudah lima tahun menjadi pemimpin anda, bukannya muflis malah semakin bertambah pendapatan kita. Hari ini saya sudah membuktikan bahawa kewangan kita kukuh,” tegasnya.
Beliau berucap demikian dalam Majlis Pelancaran Program Sarawakku Sayang Bahagian Sri Aman bertempat di Dataran Pekan Lingga pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, Residen Bahagian Sri Aman Sirai Daha, Mantan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, bekas Ahli Parlimen Batang Lupar selaku Pengerusi SADA Dato Sri Rohani Karim serta Calon GPS Parlimen Batang Lupar Mohd Shafizan Kepli.-Edisi UKAS