Premier Sarawak Umum Undang-Undang Dana Berdaulat Negeri Sarawak Hujung Bulan Ini

SABTU, 12 NOVEMBER 2022

LINGGA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Dana Berdaulat Negeri Sarawak pada hujung bulan ini pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ujar beliau, undang-undang berkenaan adalah untuk masa depan rakyat yang mana akan memberi pulangan sepenuhnya kepada Sarawak.

“Saya buat ini untuk masa depan kita, anak cucu kita termasuk yang belum lahir. Ia akan beri pulangan kepada kita. 

“Kalau Singapura boleh, dengan pendapatan berdaulat mereka begitu banyak sedangkan mereka tiada sumber, kenapa Sarawak tidak boleh? Kita ada sumber, ada tenaga, saya berani mengatakan masa depan kita cerah di bawah GPS!”katanya.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Pelancaran Program Sarawakku Sayang Bahagian Sri Aman bertempat di Dataran Pekan Lingga pada Sabtu.

Turut hadir ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang, Residen Bahagian Sri Aman Sirai Daha, Mantan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, bekas Ahli Parlimen Batang Lupar selaku Pengerusi SADA Dato Sri Rohani Karim serta Calon GPS Parlimen Batang Lupar Mohd Shafizan Kepli. -Edisi UKAS

add comment