AHAD, 13 NOVEMBER 2022
SARIKEI: Golongan belia khususnya di Sarikei dialu-alukan menyertai Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) untuk memperkasakan bangsa Melayu/Melanau di Sarawak agar cemerlang dalam bidang sosial, ekonomi, politik, agama, pendidikan dan seni budaya.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh berkata AKYBMS merupakan pertubuhan amanah khairat untuk masyarakat Melayu/Melanau semua bahagian di Sarawak.
Beliau yang juga salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah berkata AKYBMS yang ditubuhkan pada tahun 1994 pada awalnya dinamakan Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS) dan telah didaftarkan semula menjadi Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak pada 2003.
Beliau berkata demikian dalam Program Pentas SAMArindok anjuran AKYBMS di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei pada Sabtu.
Program itu turut dihadiri calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab.
Program bermula dari pagi dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti sukaneka dan pertandingan karaoke.
Manakala acara kemuncak pada sebelah malam dipenuhi dengan persembahan senandung puisi, persembahan bintang karaoke, cabutan nama bertuah dan gendang Melayu atau bermukun.
Terdahulu pada sebelah petang, Ir Yusuf sempat meluangkan masa menyantuni para belia dalam pertandingan Mobile Legends (MLBB) terbuka P.206 Tanjong Manis yang diadakan Dewan Masyarakat Kampung Belawai.
Ketika ditemui, Ir Yusuf amat gembira melihat sambutan yang amat menggalakkan dan berjanji akan menganjurkan aktiviti seumpama itu pada masa akan datang.
Sebelum berangkat menghadiri perasmian Program Pesta Lan Makan di Pantai Belawai, beliau sempat berpesan kepada para belia agar tidak terjebak dalam kes-kes jenayah terutamanya penyalahgunaan dadah.
Pertandingan tersebut telah menarik minat 15 buah pasukan terdiri dari belia tempatan, malah turut disertai pasukan dari Bintulu, Sibu dan Sarikei.
Pasukan Fornax Squad telah dinobatkan selaku juara manakala naib juara dimenangi pasukan UMA SQ dan tempat ketiga dimenangi pasukan Virus.
Hadir sama Ketua Pemuda Cawangan N.41 Kuala Rajang Mohd Hafidz Rosley dan Timbalan Ketua Pemuda Cawangan N.41 Amiruddin Bakri. – EDISI UKAS