AHAD, 13 NOVEMBER 2022
LIMBANG: Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah memperuntukkan RM160 juta melalui bagi membaiki sekolah-sekolah daif di bahagian Limbang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, peruntukan ini juga digunakan untuk menaik taraf dewan sekolah.
“Misalnya, hari ini kita menyaksikan dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Danau, Limbang telah dinaik taraf menerusi peruntukan NRDA,” katanya.
Beliau berucap di Majlis Makan Berada ‘Mini Babulang’ di SK Batu Danau baru-baru ini.
Majlis Makan Berada ‘Mini Babulang’ diadakan sebagai tanda terima kasih warga sekolah kepada masyarakat Bisaya dan persatuan-persatuan yang memberi sumbangan kepada pelajar bagi menyertai Gala Festival Kesenian di Kuala Lumpur pada bulan lepas.
Selain itu, majlis ini untuk menghargai usaha dan pencapaian pelajar asrama SK Batu Danau yang mengharumkan nama sekolah di peringkat daerah, bahagian dan juga negeri.
Pada majlis itu juga, Paulus turut menyumbang RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Batu Danau bagi melaksanakan aktiviti sekolah.
Hadir sama, Guru Besar SK Batu Danau Awangku Azman Awangku Wahab, YangDipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sk Batu Danau Dayang Asan dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Limbang, Sektor Pembangunan Murid Patrick Lukong. -EDISI UKAS