Penganjuran Acara Sukan Baik Untuk Kesihatan & Cegah Penyakit

AHAD, 13 NOVEMBER 2022

MIRI: Penganjuran acara sukan seperti futsal ini baik untuk kesihatan sekaligus mencegah daripada penyakit. 

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, perkara paling utama adalah mengutamakan kesihatan. 

Katanya, tubuh badan yang sihat dan cergas membolehkan masyarakat melakukan pekerjaan dengan baik dan menerusi aktiviti futsal ini adalah salah satu aktiviti yang menyihatkan.  

“Penyakit seperti obesiti dan diabetes kini tidak mengira umur malah umur yang muda juga turut mendapat penyakit tersebut sekiranya tidak menjaga kesihatan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kejohanan Futsal Lelaki Terbuka KPJ Miri 2022 di Stadium Bandaraya Miri, pada Sabtu. 

Sebanyak 32 pasukan telah mengambil bahagian masing-masing lima pasukan dari Marudi, satu pasukan dari Baram, 23 pasukan dari Bahagian Miri dan Bintulu dan; tiga pasukan dari Negara Brunei Darussalam.

Dalam pada itu, beliau berharap penganjuran sukan futsal ini akan dapat diteruskan setiap tahun dan turut mengalu-alukan penyertaan daripada peserta luar negara seperti Brunei Darussalam dapat merancakkan lagi pelancongan di Miri.  

Hadir sama Pengurus Besar KPJ Miri Denis Saving Boniface dan Koordinator Kejohanan Futsal Lelaki Terbuka KPJ Miri 2022 Dr Denny Clare.-EDISI UKAS

add comment