Penubuhan Jawatankuasa Khas Dicadang, Bantu Pengundi Iban Luar Bandar Di Parlimen Sibu

AHAD, 13 NOVEMBER 2022

SIBU: Penubuhan satu jawatankuasa khas dicadangkan bagi menghulurkan bantuan serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi pengundi Iban dari kawasan luar bandar yang berada di bawah Parlimen Sibu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, pada masa ini, pengundi luar bandar di situ sedang menghadapi pelbagai masalah, namun, mereka tidak mempunyai sesiapa untuk menghulurkan bantuan.

“Saya akan berjumpa dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg untuk membincangkan cadangan ini.

“Buat masa ini, ia akan dinamakan sebagai Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bawang Assan. Saya berharap jawatankuasa ini dapat ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

“Melalui jawatankuasa ini, kita dapat membincangkan isu-isu yang dihadapi pengundi Iban luar bandar dengan tujuan memenuhi keperluan mendesak terlebih dahulu,” katanya selepas menghadiri satu sesi perjumpaan bersama masyarakat di Rumah Salim Unang, Sungai Rasau di sini pada Ahad.  

Sementara itu, beliau menyeru pengundi luar bandar di Parlimen Sibu untuk memberikan sokongan kepada Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Clarence Ting dalam PRU-15 ini.

“Kemenangan beliau nanti akan membolehkannya menjadi perantara antara masyarakat di sini dengan pihak kerajaan,” jelasnya lagi.

Ujarnya, kerajaan GPS merupakan sebuah kerajaan berpaksikan rakyat dengan Premier Sarawak ialah seorang pemimpin berwawasan yang mementingkan semua kaum.

Beliau mengulas lanjut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari melaksanakan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk meningkatkan lagi taraf hidup rakyat di samping memastikan Sarawak mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030. -Edisi UKAS

add comment