Ulangi Sokongan Padu Kepada GPS Pada PRU-15 – Premier Sarawak

SABTU, 12 NOVEMBER 2022

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mahu sokongan padu diberikan rakyat negeri ini kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) semasa Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) diulangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari, meskipun tidak dapat membentuk kerajaan Persekutuan menerusi 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak, namun beliau mahu rakyat Sarawak bersatu padu mengukuhkan suara Sarawak di Dewan Rakyat.

“Sekarang ini kita berkehendakkan kerajaan yang kuat di peringkat Persekutuan, walaupun kita tidak mempunyai 222 kerusi Parlimen, tetapi pastikan 31 kerusi ini boleh menguatkan kerajaan Persekutuan.

“Sebab itu saya memohon supaya suara Sarawak kuat dan kita sama-sama membangunkan negara Malaysia yang makmur untuk masa depan,” katanya dalam program Bicara Hati Rakyat Bersama Premier Abang Jo terbitan TVS yang disiarkan pada Sabtu.

Katanya, kemenangan 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN-12 telah mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai kerajaan negeri yang stabil membolehkan program dan projek pembangunan untuk manfaat rakyat dirancang serta dilaksanakan.

Mengenai perjuangan GPS, beliau berkata gabungan parti itu sentiasa membuka ruang dan mengetengahkan calon-calon muda pada pilihan raya.

Beliau mengambil contoh, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Dato Sri Rohani Abdul Karim yang secara sukarela berundur daripada dicalonkan semula pada PRU-15.

Pada PRU kali ini, GPS mengetengahkan calon muda iaitu Mohamad Shafizan Kepli, 37 tahun di Parlimen Batang Lupar dan Rodiyah Sapiee, 44 tahun di Parlimen Batang Sadong.

Dalam pada itu, Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS mahu pengundi muda memahami perjuangan parti itu yang berpandangan jauh dengan merangka ekonomi baharu Sarawak berteraskan digital dan tenaga hijau.

Ujarnya, visi itu bertujuan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi baharu untuk manfaat mereka.

“Mereka (generasi muda) boleh melihat dasar kita dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Mereka yang berumur 18 tahun pada masa kini akan berumur 28 tahun dalam tempoh 10 tahun lagi manakala yang berumur 30 tahun sekarang akan menjadi 40 tahun.

“Maknanya apa yang saya buat ketika ini di bawah PCDS 2030, dana kekayaan berdaulat dan semuanya adalah untuk masa depan,” jelasnya.

Tambah beliau, mereka yang berumur 20 tahun dan ke atas memerlukan pekerjaan manakala pekerjaan yang disediakan mestilah sesuai dengan perkembangan ekonomi agar dibayar gaji tinggi.

Malah, TVS yang ditubuh beliau adalah untuk membuka peluang dan mengembangkan industri kreatif dan persembahan demi manfaat generasi muda.

Dalam hal ini, beliau mahu generasi muda berfikir panjang dan boleh melihat apakah yang berlaku pada masa hadapan.

Berbicara lanjut, Premier Sarawak komited menyediakan kemudahan yang sempurna di luar bandar dan selain menambah pendapatan negeri bagi tujuan membiayai pelbagai projek dan program pembangunan khususnya di kawasan luar bandar.

Bagi mencapainya, beliau telah melaksanakan projek jalan pesisir yang merangkumi pembinaan beberapa jambatan sebaik dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2017.

“Kita di Sarawak bukan sahaja kawasannya luas tetapi banyak sungai dan sungai ini kita terpaksa bina jambatan dan ia memerlukan kos yang tinggi.

“Tetapi kita carikan satu model untuk kita membangunkan infrastruktur asas,” katanya sambil menambah kos bagi melaksanakan projek pembinaan jalan pesisir termasuk jambatan di negeri ini berjumlah RM12 bilion dan ia perlu dilaksanakan dalam lima hingga enam tahun.

Katanya, pembinaan jalan yang sempurna sangat mustahak bagi menggalakkan perkembangan aktiviti ekonomi dan memudahkan pergerakan penduduk di kawasan terbabit.

Selain itu, beliau mahu tanah yang luas di luar bandar dimanfaatkan untuk kegiatan pertanian komersial bagi meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan import makanan.

Dalam hal ini, kerajaan katanya perlu menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang baik bagi menyokong penggunaan teknologi digital dalam bidang pertanian komersial.

Menyentuh pendapatan kerajaan Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata pengenalan Cukai Jualan Negeri (SST) terhadap produk minyak dan gas sejak 2019 telah meningkatkan sumber pendapatan Sarawak.

“Bermula dari itu kita ada sumber pendapatan hasil dari SST minyak dan gas dan hari ini pendapatan kita bertambah. Kalau dahulu (pendapatan negeri) paling tinggi ialah RM6 bilion, tetapi kali ini RM10 bilion.”

Katanya, beliau akan membentangkan bajet negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) sambil memberi bayangan jumlahnya melebihi RM10 bilion. – EDISI UKAS

add comment