‘Familysquad’ & Cabaran Aplikasi Mudah Alih ‘Girlscode’ Galakan Keterlibatan Pelajar Dalam STEM

ISNIN, 14 NOVEMBER 2022

MIRI: Kerajaan Sarawak amat menyokong penganjuran ‘Familysquad’ dan Cabaran Aplikasi Mudah Alih ‘Girlscode’ sebagai galakan kepada keterlibatan pelajar dalam Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM). 

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kedua-dua program ini berorientasikan kepada penggunaan teknologi. 

“Sebanyak 21 buah keluarga menyertai tahun ini dari Miri, Kuching dan Sibu. Ini adalah lebih daripada 13 keluarga yang menyertai tahun lepas. 

“Hari ini, saya mengucapkan tahniah kepada 9 pasukan yang telah berjaya melangkah ke final. 

“Saya harap anda semua membuat kenangan indah dari program ini dan akan terus bekerja sebagai keluarga dalam menyelesaikan masalah dalam pertandingan ini,” katanya semasa berucap merasmikan penutupan “Family Squard & Girls Code Programme” di Imperial Permaisuri Mall, Miri di sini pada Sabtu. 

Familysquad ialah program teknologi yang berorientasikan keluarga dengan objektif untuk menyepadukan teknologi ke dalam aktiviti keluarga, manakala program “Girlscode” pula memberi tumpuan kepada penyertaan wanita dalam bidang teknologi dan STEM. 

Pada majlis itu, LEWF Bunny (Sibu) – Smart 3R telah diumumkan sebagai juara dalam kategori Family Squard.

Sementara itu, Pasukan Savior (SMK St. Elizabeth, Sibu) – Healthy Mentor muncul juara dalam Girls Code kategori junior dan ACCIO (SMK St. Elizabeth, Sibu) – Spinector juara bagi kategori senior. 

Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Asha Devi Kaushal, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Malseni Jamal, Pengerusi Persatuan Informasi Ibu Bapa Miri Thomas Ngu, Pegawai Sains dan Matematik Pejabat Pendidikan Daerah Miri Law Sie Siek dan Eksekutif Program dan Komuniti, Hab Inovasi Digital TEGAS Miri Hamzah Hamizan. -EDISI UKAS

add comment