ISNIN, 14 NOVEMBER 2022
DEBAK: Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha membantu golongan usahawan meningkatkan ekonomi mereka melalui penganjuran pelbagai kursus keusahawanan dan kemahiran.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Mohammad Razi Sitam berkata penganjuran kursus seperti pembuatan aiskrim merupakan salah satu daripada cabang perniagaan yang mampu menarik minat terutamanya golongan belia masa kini.
Ujar beliau, dengan adanya Kursus Pembuatan Aiskrim dan Ceramah Motivasi seperti yang dianjurkan oleh Ranting Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Debak ini, ianya akan menjadi platform kepada penduduk setempat meningkatkan ekonomi mereka.
Selain itu katanya, kursus ini akan memberi impak yang besar kepada para usahawan yang berminat dalam penghasilan dan pembuatan aiskrim sekaligus dapat meningkatkan kemahiran mereka.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kursus Pembuatan Ais Krim Dan Ceramah Motivasi di Dewan Millennia, Debak baru-baru ini.
Seramai 50 orang telah menghadiri kursus ini yang meliputi Kampung Babu, Kampung Bungey, Kampung Lalang, Kampung Debak Laut dan Kampung Dit.
Difahamkan, kursus tersebut melibatkan bekerjasama dengan barisan tenaga pengajar Kolej Komuniti Betong.
Turut hadir, Ketua Wanita Cawangan PBB Saribas Rohana Julai, Temenggung Piee Alwi, Penghulu Mokhtar Bakri, Kapitan Tan Xiao Ping dan Ketua Kampung Juki Jimbon.-EDISI UKAS