Kerajaan Sarawak Teruskan Usaha Bawa Kemajuan & Arus Pembangunan Kepada Negeri

ISNIN, 14 NOVEMBER 2022

GEDONG: Kerajaan Sarawak akan terus berusaha untuk terus memajukan Sarawak dan membawa arus pembangunan di negeri ini terutamanya untuk kawasan luar bandar.  

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, antara aspek-aspek yang ditumpukan termasuk pembangunan infrastruktur, pendidikan kemahiran dan juga sektor pembuatan.

Menurutnya, rakyat berhak untuk mendapatkan keperluan asas dan infrastruktur lengkap seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik, sistem telekomunikasi serta infrastruktur pendidikan dan kesihatan yang baik.

“Kita akan terus berjuang untuk memperkasakan lagi pembangunan di luar bandar. Kita akan berjuang untuk meningkatkan pendidikan kemahiran dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi anak-anak muda supaya mereka mampu menjadi penggerak kepada perubahan yang berlaku.

“Untuk sektor pembuatan pula, rakyat akan mendapat lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi menerusi pelaburan yang kita hendak bawa ke dalam Sarawak,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan RTC Munggu Lalang di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, Datuk Amar Awang Tengah menyeru masyarakat di Parlimen Batang Sadong khasnya untuk memberikan sokongan kepada Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Rodiyah Sapiee bagi memastikan beliau meraih kemenangan besar dengan majoriti tinggi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Timbalan Premier Sarawak mengulas lanjut, Rodiyah mampu menjadi jambatan penghubung antara masyarakat setempat dengan kerajaan Persekutuan.

“Kebanyakan pembangunan yang dilaksanakan sekarang adalah menerusi dana-dana yang diperuntuk oleh Kerajaan Sarawak. Kita turut berhak mendapatkan peruntukan besar daripada kerajaan Persekutuan.

“Oleh itu, kita mahukan suara yang lebih kuat di Dewan Rakyat supaya kita dapat membela nasib dan hak rakyat untuk mendapatkan sebarang bantuan,” tambahnya lagi.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur), Ir. Aidel Lariwoo, Wakil Tugas Khas kepada ADUN Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais, Residen Bahagian Samarahan, Datu Brahim Lumpu, TImbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood dan Calon GPS Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee. -Edisi UKAS

add comment