Kerajaan Sarawak Tunggu Keputusan MOT, Dapatkan Lesen Untuk Tubuh Syarikat Penerbangan Butik

AHAD, 13 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak kini menunggu keputusan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk mendapatkan lesen bagi menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik milik Sarawak sendiri.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, perihal pengoperasian syarikat tersebut kini lebih kurang telah ditetapkan.

“Menerusi kajian yang telah dibuat, nampaknya kita boleh menubuhkan syarikat ini. Hanya, kita menunggu keputusan MOT bagi mendapatkan lesen untuk pengoperasiannya,” katanya dalam sidang media selepas Program Sarawakku Sayang 2022 di Esplanade Telaga Air di sini pada Ahad.

Beliau menambah, syarikat penerbangan butik itu akan dikendalikan di bawah Hornbill Skyways.

“Kita akan mengembangkan Hornbill Skyways. Syarikat penerbangan baharu ini akan menjadi salah satu ‘commercial arms’ kepada Hornbill Skyways,” ujarnya.

Terdahulu ketika berucap, Premier Sarawak menjelaskan, penubuhan syarikat penerbangan itu mungkin akan mengambil masa lebih kurang tiga bulan lagi.

“Ia akan digunakan untuk membawa lebih ramai pelancong ke negeri ini,” katanya. -Edisi UKAS

add comment