KPWK Terima 12 Permohonan Dokumen Sementara Individu Tanpa Status Kewarganegaraan Setakat 10 November 2022

ISNIN, 14 NOVEMBER 2022

SADONG JAYA: Sebanyak 12 permohonan Dokumen Sementara Individu Tanpa Status Kewarganegaraan telah diterima oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak, dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) untuk mendapat kelulusan setakat 10 November 2022.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan Sarawak mengeluarkan dokumen tersebut sejak 1 November lepas sebagai memberi peluang kepada anak Sarawak yang menghadapi kesulitan mendapatkan taraf kewarganegaraan untuk mempunyai akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.

“Ia jelas membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memelihara kebajikan anak Sarawak yang berbilang kaum secara holistik dan inklusif demi melestarikan kesejahteraan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Pemimpin Bersama Masyarakat DUN Sadong Jaya di Dewan Perpaduan Semera Lot di sini pada Ahad.

Dalam program tersebut, Dato Sri Fatimah turut berkongsi mengenai beberapa inisiatif Kerajaan Sarawak yang dilaksanakan melalui kementeriannya seperti Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Endownment Fund Sarawak (EFS), Geran Tahunan Khas (GTK), Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang, Kenyalang Gold Card (KGC) dan Bantuan Ihsan Kematian (BIK).

Di kesempatan itu juga, beliau telah memperkenalkan Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee yang merupakan anak tempatan berasal dari Kampung Tanjung Harapan,Simunjan.

Terdahulu semasa berucap, Timbalan Menteri Insfrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo memberitahu, penduduk di kawasan itu bertuah kerana pencalonan Rodiyah amat dipersetujui oleh Premier Sarawak yang melihat beliau mempunyai kelebihan, pengalaman dan keistimewaannya tersendiri yang mampu membangunkan lagi insfrastruktur di Batang Sadong.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Noriah Ahmad dan Penghulu Lachak Sobeng.-Edisi UKAS

add comment