Melahirkan Modal Insan Berjaya Jadi Keutamaan Kerajaan Sarawak

ISNIN, 14 NOVEMBER 2022

TATAU: Kerajaan Sarawak tidak sesekali meminggirkan pendidikan anak-anak di negeri ini biarpun bidang kuasanya di bawah Kerajaan Persekutuan. 

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, ini kerana hanya melalui pendidikan sahaja boleh mengubah ekonomi negeri dan keluarga. 

Justeru, adalah penting untuk anak-anak Sarawak mendapat pendidikan yang sempurna. 

“Kerajaan Sarawak mahu melahirkan modal insan iaitu rakyat yang berpendidikan untuk bersama membangunkan negeri ini dan mencapai negeri maju serta berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Ini seperti yang selalu disebut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam setiap kali ucapannya,” katanya. 

Beliau berucap merasmikan Sukan Tahunan Sekolah & Karnival PIBG SK Rumah Tayai Kali Ke-10/2022 di SK Rumah Tayai di sini pada Sabtu. 

Jelas Datuk John Sikie lagi, keputusan Kerajaan Sarawak menubuhkan Sovereign Fund adalah untuk mewujudkan dana untuk membantu anak anak Sarawak yang bersekolah dan mendapat pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti. 

Turut sama hadir Pegawai Pendidikan Daerah Tatau-Sebauh Fred Entau, Guru Besar SK Rh Tayai Assun Gani dan Yang di Pertua PIBG Rh Tayai Tr Oyau Kannyen.-EDISI UKAS

add comment