ISNIN, 14 NOVEMBER 2022
KUCHING: Penubuhan syarikat penerbangan milik Sarawak sendiri dapat mengembangkan lagi potensi pelancongan negeri ini.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri berkata, syarikat penerbangan butik itu akan menyediakan satu pilihan tambahan untuk warga Sarawak dan juga para pelancong.
“Terdapat ramai orang yang hendak datang ke Sarawak, namun ada yang menghadapi kekangan dalam aspek ketercapaian (accessibility) terutamanya dari segi penerbangan.
“Diharapkan menerusi syarikat penerbangan sendiri, ia akan membantu untuk meramaikan lagi pelancong yang datang ke Sarawak.
“Dengan adanya pilihan banyak untuk penerbangan juga, syarikat ini mungkin dapat menawarkan perkhidmatan dengan harga yang lebih kompetitif,” jelasnya ketika ditemui wartawan selepas Program Sarawakku Sayang 2022 di Esplanade Telaga Air, Kuching pada Ahad.
Dato Sri Nancy menambah, ia sekaligus akan memudahkan rakyat Sarawak untuk kembali ke negeri ini tanpa perlu menanggung kos penerbangan yang terlalu tinggi.
Terdahulu dalam sidang media selepas program, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pihak kerajaan kini menunggu keputusan daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) untuk mendapatkan lesen bagi menubuhkan syarikat penerbangan butik itu. -Edisi UKAS