Premier Sarawak Luluskan Pembangunan Lampu Jalan Di Jalan FAC

AHAD, 13 NOVEMBER 2022

KUCHING: Permohonan untuk mendirikan lampu jalan di sepanjang Jalan FAC, Matang bermula dari Kopodim hingga Kampung Selang ke Telaga Air telah diluluskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Beliau memberitahu, untuk tujuan itu, kerjasama pemimpin kawasan setempat diperlukan untuk memastikan sebarang vandalisme yang dilakukan ke atas infrastruktur itu dilaporkan dengan segera.

“Projek ini akan dilaksanakan dengan syarat penghulu dan ketua kaum memberi kerjasama untuk memantau dan melaporkan orang yang mencuri kabel lampu jalan itu.

“Sekiranya lampu terbakar, ia senang diganti. Namun, jikalau kabel lampu dipotong, ia akan menjejaskan keseluruhan litar lampu di sepanjang jalan,” tegasnya ketika berucap dalam Program Sarawakku Sayang 2022 di Esplanade Telaga Air di sini pada Ahad.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga memberitahu, program Sarawakku Sayang dianjurkan ini adalah bertujuan untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara Kerajaan Sarawak dengan rakyat tempatan.

Katanya, program itu membolehkan agensi-agensi berkaitan memberikan maklumat kepada masyarakat mengenai dasar-dasar serta inisiatif yang dilaksanakan manakala rakyat pula dapat memberi maklum balas mengenai dasar-dasar yang perlu disesuaikan serta ditambah baik.

“Maka, menerusi program ini, rakyat dengan kerajaan akan mempunyai hala tuju sama di mana negeri dibangunkan mengikut cita rasa dan kehendak rakyat,” jelasnya lagi.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang juga Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Santubong, Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan Residen Bahagian Kuching, Datu Sherrina Hussaini. -Edisi UKAS

add comment