PRU-15: Hantar 31 Wakil GPS Ke Parlimen, Teruskan Perjuangan Sarawak Di Peringkat Persekutuan

AHAD, 13 NOVEMBER 2022

KUCHING: Rakyat diseru agar memastikan kesemua 31 kerusi Parlimen dimenangi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia adalah untuk meneruskan perjuangan Sarawak di peringkat persekutuan.

“Kita hantarkan sebanyak mungkin calon-calon kita ke Dewan Rakyat. Kita bertanding di 31 kerusi, kalau dapat, kesemua kerusi itu kita hantar ke Putrajaya.

“Saya berkata sedemikian kerana perjuangan ini adalah untuk negeri kita. Saya tidak mahu Putrajaya ambil mudah keadaan kita di Sarawak,” katanya pada Program Sarawakku Sayang 2022 di Esplanade Telaga Air di sini pada Ahad.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut menegaskan, Sarawak hanya akan bekerjasama dengan Perdana Menteri yang berlaku adil kepada negeri ini.

Katanya, ia adalah demi memastikan negeri ini tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Sementara itu tegasnya, Sarawak perlu menjadi penentu kepada politik Malaysia untuk menjamin sesebuah negara yang stabil.

“Pada hari ini, semua pihak mengatakan bahawa GPS adalah ‘king maker’ atau ‘stabiliser’.

“Kita mesti menjadi penentu kepada politik negara Malaysia,” ujarnya lagi.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang juga Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Santubong, Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan Residen Bahagian Kuching, Datu Sherrina Hussaini. -Edisi UKAS

add comment