PRU15: Kerajaan GPS Stabil & Kukuh

ISNIN, 14 NOVEMBER 2022

KEMENA: Rakyat di kawasan Sebauh ini harus bijak memilih kerajaan yang benar-benar stabil dan kukuh seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, GPS yang dianggotai empat parti komponen tempatan itu bersatu membawa suara rakyat Sarawak dalam menyuarakan tuntutan serta hak yang telah lama terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini sekaligus membolehkan kita di Sarawak mentadbir mengikut acuan sendiri dan aspirasi serta kehendak rakyat Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Openg,” ujarnya.

Beliau berucap merasmikan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) Siri Ke-13 anjuran Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu di Rumah Michael Donald, Ulu Satai di sini pada Sabtu. 

Ujar Dato Sri Dr. Stephen Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena memberitahu sewaktu di dalam Barisan Nasional (BN) dahulu suara BN Sarawak kurang didengari. 

“Jadi dengan penubuhan GPS telah banyak membantu dalam mengukuhkan kedudukan negeri ini dalam mengurus tadbir Sarawak dengan cara tersendiri tanpa bergantung kepada pihak luar sebagaimana sebelum ini,” ujarnya.

Justeru, rakyat di negeri ini digesa agar memberikan sokongan penuh kepada GPS bagi memastikan suara rakyat Sarawak lebih didengar sekaligus menuntut hak-hak mereka dalam MA63.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datu Edwin Abit, Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Jenny Bangga dan Pegawai Pertanian Pembangunan, Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu Anggang Jimbun.-EDISI UKAS

add comment