Agensi Kerajaan, Swasta Main Peranan Bantu Komuniti Penan

SELASA, 15 NOVEMBER 2022

LIMBANG: Agensi kerajaan dan swasta perlu memainkan peranan masing-masing membantu komuniti Penan di negeri ini agar tidak ketinggalan dengan seiring dengan pembangunan Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, golongan tersebut memerlukan bantuan dari pelbagai sudut termasuk dalam bidang pertanian, penternakan dan sebagainya.

“Ramai dari masyarakat Penan ini telah berjaya termasuk Datuk Asan Sui yang terlibat dengan pelbagai perniagaan dan beliau telah membantu masyarakat beliau untuk lebih maju bersama.

“Anak-anak beliau juga ramai yang telah berjaya dan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pendidikan pendekatan yang sesuai untuk mengangkat martabat masyarakat Penan ini.

“Masyarakat Penan ini adalah dalam kalangan masyarakat yang baik-baik dan dapat maju sekiranya mendapat bimbingan yang sempurna.

“Ada dalam kalangan orang luar menganggap masyarakt ini sebagai masyarakat kuno untuk dijadikan paparan dunia di mana ia adalah salahlaku kerana mereka adalah keluarga Sarawak dan perlu dibantu dari pelbagai sudut,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penangguhan Bengkel Pembangunan Masyarakat Penan Bahagian Limbang di Hotel Purnama di sini pada Isnin.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menambah, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah melakukan pelbagai inisiatif untuk membantu masyarakat ini dengan menyalurkan pelbagai bantuan.

“GPS telah menyalurkan bantuan melalui Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang yang telah melakukan yang terbaik untuk masyarakat ini.

“Kita sepatutnya menyokong calon kita dengan turun mengundi beramai-ramai untuk mengangkat Calon GPS kita iaitu Datuk Hasbi dan calon Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong pada 19 November ini.,”ujar beliau lagi.

Sementara itu, bercakap mengenai penyerahan warta Seksyen 6 dan surat hak milik seksyen 18 Kanun Tanah Negeri serta cek pampasan tanah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak itu memberitahu lagi, kerajaan telah memperuntukkan RM40 juta kepada 476 pegawai.

Katanya, kerajaan juga telah memperuntukkan RM30 juta setahun untuk membantu masyarakat di luar bandar untuk menyukat tanah adat bumiputera bagi kegunaan pertanian.

“Kerajaan telah merancang untuk membuka lebih banyak jalan agar tanah-tanah yang ada di luar bandar dapat dimajukan dengan kadar yang seberapa segera.

“Kerajaan tidak merampas tetapi akan membayar apa sahaja termasuk tanah buah-buahan dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam majlis ini, Datuk Amar Awang Tengah telah menyempurnakan penyerahan Warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Bagi kawasan Tedungan, Bidang, Terumbu, Paya Mengaliong dan Lembuak, Limbang.

Selain itu, beliau juga turut menyerahkan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Berawan Limbang (NCR) dan Kawasan Melanjan, Limbang (NCR) serta menyerahkan cek pampasan tanah bagi projek ‘Construction Of New Road From Rangau To Kuala Limbang’.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Timbalan Pengarah Pengurusan, Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood, Penolong Pengarah Tanah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Unus Tambi, dan Penguasa Tanah Dan Survei Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi.-Edisi UKAS

add comment