Kemenangan GPS ‘Titik’ Kekuatan Suara Sarawak Di Parlimen

SELASA, 15 NOVEMBER 2022

BARAM: Pengundi di kawasan Telang Usan diseru untuk terus menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada Sabtu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, menyokong GPS akan membantu memperkuatkan suara wakil rakyat Sarawak di peringkat pusat kelak.

Justeru katanya, sekiranya GPS dapat menawan kesemua 31 kerusi yang dipertandingkan ia akan menjadi ‘titik’ kekuatan Sarawak di Dewan Rakyat.

“GPS adalah parti milik Sarawak yang tulen dan tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik di Semenanjung Malaysia,” tegasnya.

Sebelum itu, beliau menghadiri sesi sembang santai bersama penduduk yang turut dihadiri calon GPS Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau di Pekan Long Lama pada Isnin.

Terdahulu, ADUN Telang Usan itu telah menyempurnakan majlis pecah tanah Dewan Serbaguna Kampung Long Banyok.

Hadir sama penduduk di lima buah kampung di kawasan Baram hilir iaitu Kampung Long Banyok, Kampung Long Puak, Kampung Uma Akeh, Kampung Long Ikang dan Kampung Logan Sibung.-Edisi UKAS

add comment