Kerajaan Sarawak Laksana Pengukuran Lot Individu

SELASA, 15 NOVEMBER 2022

MARUDI: Selain memperkenalkan Program Penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu, Kerajaan Sarawak juga melaksanakan pengukuran secara lot individu berdasarkan permohonan yang diluluskan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, untuk keperluan itu kawasan tersebut telah pun disukat secara perimeter, diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan kesediaan penuntut tanah NCR terbabit. 

“Satu sesi dialog akan diadakan dengan penuntut-penuntut tanah NCR yang berkaitan sebelum aktiviti pegukuran bermula. Ianya bertujuan untuk memberi penerangan dan mendapat maklum balas sebelum kerja pengukuran sebenar di lapangan dilaksanakan. 

“Pengukuran hanya akan dijalankan setelah mendapat persetujuan dan sokonganpenuntut tanah yang terlibat. Jika mereka tidak mahu tanah mereka diukur perimeter, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan,” katanya. 

Beliau berucap di Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Di Bawah Seksyen 18 (Long Panai) dan Warta Di Bawah Seksyen 6 (Sg Arang, Sg Buloh, Bakong Dan Sg Kejaman, Miri) di Dewan Masyarakat Marudi di sini pada Isnin. 

Tambah Datuk Amar Awang Tengah lagi, bagi kes-kes yang masih dalam pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan kecualilah kes tersebut telahpun diselesaikan atau ditarik balik oleh mereka yang terlibat.

Sekiranya mahu menyertai Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini semula, permohonan baharu perlulah dikemukakan kepada Jabatan Tanah dan Survei. 

Pada majlis itu, diserahkan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 KTN bagi kawasan Sungai Arang, Sungai Buluh, Bakong dan Sungai Kejaman, Miri.

Pada majlis itu juga disampaikan beberapa bantuan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabngsa Industri dan Industri dan Pelaburan Sarawak, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak  (MINTRED) dan TEKUN Nasional antaranya bantuan Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal Vokasional (USTEV) kepada Nurul Fatanah Jameli dan Issac Kiu, Skim Pembiayaan TEKUN Nasional kepada Rabiah Ismail dan Aluint Angat, dan Geran Bantuan Pengusaha Perniagaan Kecil di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak kepada Joel  Lusat.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap ADUN Mulu Datuk Gerawat Gala, ADUN Telang Usan Dennis Ngau, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pembangunan Usahawan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa Industri dan Pelaburan Sarawak Sayed Ismail Nasirudin Dato Wan Hashim, Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Yusuf, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmood dan Penguasa Tanah Bahagian Miri Anthony Aboi. -EDISI UKAS

add comment