Program Kesedaran “Awareness Behavioral Change Beri Kesedaran Aspek Keselamatan Jalan Raya Kepada Pengguna

SELASA, 15 NOVEMBER 2022

MIRI: Kementerian Pengangkutan Sarawak telah mengambil inisiatif menganjurkan Program Kesedaran “Awareness Behavioral Change (ABC) bagi memberi kesedaran menyeluruh tentang aspek keselamatan jalan raya. 

Menurut Menteri Kementerian Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, ini penting bagi melihat perubahan tingkah laku pengguna jalan raya secara menyeluruh dan pada masa yang sama menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Katanya lagi, penunggang motosikal dan belia merupakan bahagian tertinggi kematian dalam kemalangan jalan raya di Malaysia.

“Keadaan ini memerlukan langkah segera untuk meningkatkan kesedaran dengan menyediakan program pendidikan jalan raya, terutamanya golongan ini.

“Ini merujuk kepada perubahan tingkah laku di kalangan pengguna jalan raya dengan melihat kepada 3 perspektif iaitu keselamatan jalan raya untuk pemandu dan pejalan kaki, kewaspadaan terhadap peraturan lalu lintas dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam,” katanya. 

Beliau berucap merasmikan Pelancaran Program Kesedaran “Awareness Behavioral Change (ABC)” di Hotel Imperial Miri di sini pada Isnin. 

Tambah Dato Sri Lee lagi, melalui program ABC ini juga Kementerian Pengangkutan Sarawak berhasrat mengubah cara orang ramai berkelakuan di jalan raya, mengubah tingkah laku yang tidak diingini yang boleh menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, tempat letak kereta yang tidak sesuai, perbuatan berbahaya, pemanduan berisiko, buli jalan raya dan sebagainya. 

Justeru, pendekatan pertama adalah mewujudkan kesedaran di kalangan pengguna jalan raya tentang kepentingan “kelakuan baik” di jalan raya, supaya dapat mewujudkan jalan raya yang selamat untuk semua orang dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Hadir sama Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan Sarawak Dato Ir. Alice Jawan Empaling, Timbalan Residen Miri Juan Ubit, Ketua Bahagian Pengangkutan Darat dan Logistik, Kementerian Pengangkutan Sarawak Julin Alen dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Kaunselor Jeffrey Phang Siaw Foong.-EDISI UKAS

add comment