Program Libat Urus Perhebat Pengurusan, Pentadbiran PPDK

SELASA, 15 NOVEMBER 2022

MIRI: Penganjuran program libat urus menjadi medium pengantara untuk Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Sarawak memperhebat amalan pengurusan dan pentadbiran bantuan kewangan teratur dan terbaik.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak -Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus berkata, menerusi program berkenaan, ia membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU) Malaysia dan pihak Pengurusan PPDK Sarawak berkongsi pengalaman dan menimba ilmu yang baharu.

“Penganjuran Libat urus PPDK di Sarawak ini sangat berguna bagi kita kerana dalam masa yang sama ini adalah peluang untuk  kita berkongsi ilmu dan pengalaman kerana kita yakin setiap PPDK mempunyai cara dan halangan tersendiri dan ada juga yang mempunyai kekuatan tersendiri.

“Ini adalah plaform kita untuk bersama berkongsi pengalaman selain menimba ilmu yang  baru diantaranya terutama apabila melibatkan pentadbiran dan  amalan pengurusan,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Apresiasi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sarawak 2022 sempena Program Libat Urus PPDK Sarawak di sini pada Isnin.

Datuk Rosey juga menambah, beliau berharap penganjuran program libat urus itu dapat membantu setiap PPDK yang terlibat untuk mengurus PPDK mereka.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu turut memberitahu, Sarawak kini memiliki sebanyak 55 buah PPDK yang telah berdaftar dan beroperasi dengan seramai 1,964 orang pelatih.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Ipaya (JPOKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) Zuhaimi Omar.-Edisi UKAS

add comment