PRU15: Suasana Pengundian Awal Di Kawasan Parlimen Di Utara Sarawak Berjalan Lancar

SELASA, 15 NOVEMBER 2022

LIMBANG: Hari ini merupakan pengundian awal bagi anggota tentera dan polis bersama pasangan mereka bagi menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini. 

Di Sarawak seramai 22,127 anggota tentera dan polis serta pasangan telah berdaftar dalam pengundian awal hari ini dan ada juga di antara mereka yang telah mengundi secara pos pada minggu lepas disebabkan komitmen mereka bertugas di lapangan sepanjang PRU-15. 

Pada tinjauan ini, wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) telah sempat meninjau di beberapa Pusat Mengundi Awal di Parlimen Limbang, Baram, Miri, Sibuti dan Bintulu bagi melihat proses pengundian awal. 

Di Parlimen Limbang, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Hasbi Habibullah telah turun padang bagi meninjau proses pengundian awal bagi anggota polis serta pasangan masing-masing di Balai Polis Lama dan Bangunan Kantin PGA Limbang pada Selasa. 

Seramai 360 anggota polis dan pasangan berdaftar bagi menunaikan tanggungjawab mengundi awal. 

Daripada jumlah itu, 356 mengundi awal bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota dan 4 lagi bagi kawasan DUN Batu Danau.

Terdapat beberapa anggota polis yang turut mengundi pos disebabkan mereka bertugas di luar kawasan Limbang iaitu di Marudi dan Lawas.

Parlimen Limbang menyaksikan pertandingan dua penjuru melibatkan calon GPS dan Pakatan Harapan (PH).

Sementara di Parlimen Baram, 79 anggota polis dan pasangan berdaftar membuang undi di Dewan PERKIB Ibupejabat Polis Daerah Marudi.

Daripada jumlah itu, 45 telah mengundi secara pos.

Parlimen Baram menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara calon GPS, PH dan Bebas. 

Di Parlimen Miri, 176 anggota PGA bersama pasangan masing-masing turun mengundi Dewan Johnny Mustapha Batalion Ke-13 Miri. 

DUN Senadin mempunyai 549 anggota polis dan pasangan dengan 373 anggota polis telah menunaikan kewajipan awal menerusi undi pos.

Hadir sama menyaksikan pengundian awal ialah calon GPS Parlimen Miri, Kaunselor Jeffrey Phang Siaw Foong bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin. 

Masih di Parlimen Miri, kali ini pengundian diadakan di Bangunan Ruai Kenyalang, IPD Miri bagi DUN Piasau. 

Seramai 494 pengundi berdaftar telah menunaikan kewajipan mereka dengan 33 anggota telah mengundi secara pos manakala, 461 anggota dan pasangan lagi menunaikan tanggungjawab pengundi awal. 

Parlimen Miri mempunyai 1,043 pengundi berdaftar daripada kalangan polis dan pasangan. 

Turut sama hadir calon GPS Jeffrey Phang, calon Pakatan Harapan (PH) Chiew Choon Man dan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Lawrence Lai. 

Parlimen Miri menyaksikan pertandingan tiga penujuru melibatkan calon GPS, PH dan PSB. 

Beralih di Parlimen Sibuti, dua daripada tiga calon yang bertanding  iaitu Lukanisman Awang Sauni dari GPS dan Zulhaidah Suboh dari Pakatan Harapan hadir menyaksikan pengundian awal di Bangunan Ruai Kenyalang, IPD Miri.

Berdasarkan daftar pemilih, 775 pengundi awal yang terdiri daripada 725 anggota tentera dan pasangan dan 50 anggota polis dan pasangan mengundi awal pada hari ini. 

Parlimen Sibuti yang meliputi DUN Bekenu dan DUN Lambir menampilkan pertandingan tiga penjuru di antara calon GPS, PH dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS). 

Manakala, di Parlimen Bintulu seramai 387 anggota polis dan pasangan masing-masing turun mengundi awal di Dewan Serbaguna IPD, Bintulu. 

Di sini, terdapat dua pusat mengundi iaitu untuk DUN Tanjong Batu seramai 344 pengundi dan DUN Jepak seramai 43 pengundi. 

Masih lagi di Parlimen Bintulu, kali ini di Pusat Mengundi Dewan Matak Kayau Kem Tentera Samalajau apabila 462 anggota tentera dan pasangan mereka menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal. 

Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan Kem Similajau merupakan kem di bawah DUN Samalaju.

Parlimen Bintulu mempunyai 849 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan polis bersama pasangan masing-maing. 

Pada PRU-15 ini, menyaksikan persaingan tiga penjuru di antara GPS, PH dan PN.-EDISI UKAS

add comment