SELASA, 15 NOVEMBER 2022
MIRI: Kerajaan Sarawak sentiasa memberi sokongan kepada penganjuran sambutan atau aktiviti keagamaan yang boleh meningkatkan perpaduan kaum dalam kalangan etnik majoriti dan minoriti di negeri ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkara ini dapat dilihat khususnya semasa musim perayaan berlangsung.
Bagaimanapun, rakyat berbilang kaum dan budaya di negeri ini perlu bersikap bijak serta tidak mudah terpengaruh dengan anasir-ansir ekstremisme dari luar.
“Sebagai rakyat Sarawak yang hidup harmoni dalam kalangan pelbagai kaum dan agama, kita perlu mengekalkannya dan menolak isu-isu ekstremisme yang boleh menjejaskan perpaduan kita yang kukuh ini,” katanya semasa berucap dalam Makan Malam Pra-Krismas anjuran Persatuan Wanita Orang Ulu Miri (PWOUM) di Restoran Eastwood Valley Miri di sini pada Ahad.
Ujar Dato Sri Lee lagi, setiap masyarakat perlu memastikan perpaduan kaum dan keharmonian itu terus berkekalan agar masyarakat dapat terus hidup bersama dan meraikan pelbagai jenis perayaan bersama-sama dengan saling menghormati antara satu sama lain.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sanng, Pengerusi Persatuan Wanita Orang Ulu Miri Kijan Toynbee dan Presiden Rarum Kelabit Sarawak Dato Dr Philip Raja.-EDISI UKAS