Kerajaan Sarawak Bangunkan Kompleks Pentadbiran Daerah Siburan

SIBURAN: Kerajaan Sarawak akan membangunkan Kompleks Pentadbiran Daerah Siburan pada tahun 2023.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pembangunan kompleks menerusi peruntukan khas itu kelak akan memudahkan penyampaian kerajaan negeri kepada rakyat.

Katanya, sebelum ini urusan pentadbiran daerah kecil Siburan adalah di bawah pentadbiran daerah Serian dan kini Siburan sudah dinaik taraf sebagai Daerah Siburan dan ditadbir oleh seorang Pegawai Daerah.

“Kita (kerajaan Sarawak) akan membangunkan Kompleks Pentadbiran di Siburan yang akan menempatkan Pejabat Daerah serta agensi-agensi kerajaan negeri bagi menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita sudah membuat perancangan ini, namun ia mengambil masa dan bukan serta merta kerana kita sudah ada peruntukan khas bagi menaik taraf Siburan dari sudut pembangunan Kompleks Pentadbiran Siburan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Kompleks Sukan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Siburan di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Premier Sarawak juga memberitahu, kerajaan Sarawak akan menaik taraf Dewan Masyarakat Siburan.

Katanya, peruntukan bagi kerja-kerja naik taraf dewan berkenaan akan diumumkan kemudian.

Sementara itu, Premier Sarawak memaklumkan, kerajaan Sarawak juga mempertimbangkan cadangan jumlah ketua masyarakat bahagian Serian termasuk mewujudkan jawatan Temenggong.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan, Calon GPS Parlimen Serian, Dato’ Sri (Dr) Richard Riot Jaem, Calon GPS Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin dan tetamu jemputan yang lain. EDISI UKAS

add comment