Kerajaan Sarawak Komited Melabur Dalam Pendidikan Untuk Anak Sarawak

RABU, 16 NOVEMBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak amat komited untuk melakukan pelaburan terutamanya dalam pendidikan anak-anak di negeri ini agar mereka dapat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dengan kedudukan kewangan Sarawak yang baik dan kukuh, ia akan membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk memberi pendidikan percuma kepada anak-anak di negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya memang berhasrat untuk memberi pendidikan setinggi-tingginya tanpa yuran kerana apa yang berlaku sekarang, banyak anak kita tidak dapat menyambung pelajaran kerana yuran yang tinggi.

“Keduanya mereka akan memohon tempat melalui UPU yang mana kadang-kadang dapat kadang-kadang tidak. Kalau dapat pun bukan jurusan yang diminati oleh pemohon.

“Sebab itu saya telah mengambil alih aset universiti yang ada di Sarawak iaitu Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu, Kolej Universiti i-Cats dan Pusat kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS),” katanya dalam program Untukmu Malaysia di sini pada Rabu.

Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, pendapatan Sarawak itu akan digunakan untuk menjalankan pengurusan insitusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.

“Kalau kita mempunyai pendapatan yang agak baik, maka kita gunakan ini untuk menjalankan pengurusan universiti yang saya sebutkan tadi.

“Universiti-universiti ini mendapat suntikan dana daripada Kerajaan Sarawak tanpa mendapat kutipan daripada yuran dan ini bermakna anak-anak kita belajar di sana secara percuma. Ini yang saya nak buat dan saya harap dapat dilakukan sebelum 2030.

“Saya dah cuba di UTS di Sibu dimana sekarang ini kita beri mahasiswa 80 peratus sahaja. Jumlah pelajar yang belajar di sini meningkat daripada hanya 200 masuk dan sekarang ni tahun lepas lebih 900 pelajar layak yang boleh masuk universiti dan program asasi pula percuma daripada Yayasan Sarawak. Ini yang saya nak panjangkan di masa-masa yang akan datang,” ujar Premier Sarawak.

Beliau berkata, pelaburan itu akan membantu Sarawak untuk mendapatkan ilmu yang baharu dan seterusnya ia digunakan kembali untuk menambah nilai kepada sumber yang ada di Sarawak.

“Ini hasrat kita kerana kita ini dalam era yang baru, sudah tentu pengajian pun pengajian yang ada input yang baru, yang tidak sama seperti apa yang kita pelajari dulu,” jelasnya. – Edisi UKAS

add comment