PRU-15: 105 Pengundi Awal Di Parlimen Batang Sadong Mula Mengundi

SIMUNJAN: Seramai 105 orang pengundi awal bagi kerusi Parlimen Batang Sadong dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mula mengundi pada jam 8 pagi tadi.

Kesemua pengundi awal di Parlimen Batang Sadong adalah anggota polis dan mereka akan mengundi di Bilik A Surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan.

Pusat pengundian awal itu dibuka jam 8 pagi hingga 2 petang dan mempunyai dua saluran mengundi.

Proses pengundian awal itu turut disaksikan oleh ejen calon yang bertanding.

Selepas proses pengundian awal selesai, kertas-kertas undi akan disimpan di lokap balai polis untuk jagaan selamat dan hanya akan dikira pada 19 November nanti di pusat pengiraan undi yang ditetapkan SPR disaksikan oleh ejen calon masing-masing

Untuk rekod, Parlimen Batang Sadong masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Rodiyah Sapiee yang juga muka baharu berdepan calon Pakatan Harapan (PH) Lahaji Lahiya.

Kerusi Parlimen Batang Sadong sebelum ini dimenangi Dato Sri Nancy Shukri daripada GPS yang kini bertanding di Parlimen Santubong.

Parlimen Batang Sadong mempunyai keseluruhan 32,640 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRU-15 Sabtu ini. -EDISI UKAS

add comment