PRU-15: Pilih Pemimpin Yang Akan Bawa Kesejahteraan, Pembangunan – Datuk John Sikie

RABU, 16 NOVEMBER 2022

BINTULU: Rakyat harus bijak dalam memilih calon yang akan memimpin mereka selepas hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, mereka perlu memilih calon pemimpin yang diyakini dapat membawa kesejahteraan dan pembangunan kepada masyarakat negeri ini.

“Kita tidak mahu ketinggalan dalam lima tahun akan datang, oleh itu anda perlu memilih calon yang tepat nanti,” katanya semasa berucap dalam Showcase Kembara 76 di Rumah Vicky Engkalom, Jalan Tatau- Bintulu di sini pada Selasa.

Beliau mengingatkan kepada rakyat untuk menjalankan tanggungjawab mereka nanti dengan turun mengundi.

Dalam pada itu Datuk John Sikie turut mengingatkan Tuai rumah untuk memastikan setiap anak buah mereka turun mengundi pada Sabtu ini.

Sementara itu, Pengarah Penyiaran Negeri Sarawak Nasrul Hakim Md Noh yang turut berucap memberitahu program Showcase Kembara 76 itu adalah program yang diadakan di seluruh Sarawak.

Katanya, Rumah Vicky merupakan lokasi kesembilan diadakan.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan.-Edisi UKAS

add comment