Sarawak Skills Perluas Kerjasama, Meterai Perjanjian Kerjasama & MoU Bersama Tiga Organisasi

RABU, 16 NOVEMBER 2022

MIRI: Sarawak Skills atau Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak memperluaskan kerjasama bersama tiga organisasi iaitu Petronas, Mui Lee Enterprise Sdn Bhd dan Persatuan Pekerja Minyak & Gas Sarawak (SOGWA).

Pengerusi Sarawak Skills dan Pro-Canselor Kolej Universiti i-CATS Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain telah menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama dan MoU itu yang diadakan di Hotel Pullman di sini pada Selasa.

Turut sama menyaksikannya ialah Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sarawak yang juga Naib Pengerusi Sarawak Skills Julaihi Mohd Mantali dan Setiausaha Sarawak Skills Dato’ Maznah Dazmi.

Menurut kenyataan media Sarawak Skills, dengan termeterainya perjanjian itu, ia akan membuka jalan kepada industri dan Sarawak Skills untuk menyelaraskan kepakaran dan sumber kolektif untuk memajukan usaha murni Pembangunan Bakat di Sarawak.

Jelas kenyataan itu, kerjasama ini adalah bagi membangunkan dan menyampaikan program latihan baharu untuk meningkatkan kebolehpasaran dan peluang kemajuan penduduk di negeri ini.

Kenyataan sama juga memaklumkan, Sarawak SKills akan bersama-sama membangunkan kursus dan program latihan yang berkaitan dengan industri, termasuk penerapan teknologi terkini selaras dengan piawaian kelestarian alam sekitar global untuk mengubah operasi dan amalan sedia ada.

Tambah kenyataan itu, ini akan membantu dalam memudahkan pembangunan bakat belia di Miri dan wilayah Utara Sarawak.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf.-Edisi UKAS

add comment