GPS Perlukan Mandat Besar Dari Rakyat Sarawak

KHAMIS, 17 NOVEMBER 2022

MATU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mendapat mandat besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk membolehkan suara Sarawak lebih kuat di Parlimen.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, dengan suara yang kuat di Parlimen, Sarawak boleh menuntut dana yang lebih besar dari kerajaan pusat.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sarawak termasuk di Matu untuk turun beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mengundi GPS pada 19 November demi kesejahteraan dan kestabilan Sarawak.

Katanya, dengan sokongan kuat dari seluruh rakyat, tidak mustahil untuk GPS memenangi 31 kerusi parlimen pada PRU-15.

Dr Juanda berkata demikian ketika ditemui pada Program Pemimpin Bersama Rakyat DUN N44 Jemoreng, Parlimen P207 Igan di Pusat Sumber JKKK Kampung Treng, Matu pada Khamis.

Terdahulu pada sebelah pagi, Dr Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng telah mengadakan lawatan mesra ke Projek Pembangunan di sekitar Kampung Tian, Matu.

Dalam lawatan itu, beliau telah menyaksikan penyerahan beberapa projek siap MRP-PPRMS di Kampung Tian dan penyerahan projek mula kerja Bina Baru Parkir Awam disempurnakan Agensi Pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada kontraktor yang dipilih.

Beliau dalam pada itu berharap agar projek yang akan dilaksanakan itu nanti akan dapat dilaksanakan pada waktu yang telah ditetapkan.

Dr Juanda kemudiannya menyaksikan majlis penyerahan beberapa projek siap MRP-PPRMS di Kampung Jemoreng pada sebelah petang.

Selain itu, beliau turut menyaksikan penyerahan projek mula kerja bina baru titian di Kampung Dagang, Sekaan, Matu disempurnakan JKR kepada kontraktor. – EDISI UKAS

add comment