Lawas Akan Berkembang Pesat Apabila Pelan Utama Minyak & Gas Direalisasikan

KHAMIS, 17 NOVEMBER 2022

LAWAS: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah memberitahu Kerajaan Sarawak telah melantik konsultan Temasek Holding dari Singapura bagi membantu menyediakan pelan utama bagi minyak dan gas di daerah Lawas ini. 

Katanya, ini berdasarkan kepada lokasi Lawas yang strategik di mana akan mengembangkan lagi ekonomi pada masa akan datang. 

“Kedalaman laut kita di sini sesuai dan lokasi kita juga strategik. Sekarang ini mereka masih membuat kajian dan ada juga syarikat-syarikat yang berminat melabur untuk produk-produk yang lain. 

“Jika ini menjadi kenyataan, Lawas akan berkembang dengan pesat,” katanya semasa berucap dalam Majlis Malam Perpaduan Masyarakat Kaum Cina di Hotel Seri Malaysia di sini pada Rabu. 

Tambah Datuk Amar Awang lagi, beliau telah pun melihat pelan utama syarikat minyak dan gas itu semasa berada di Hainan, China. 

“Lapangan terbang Lawas yang baru kita akan pindahkan kerana kilang penapisan minyak itu tidak boleh dekat dengan lapangan terbang. 

“Itulah sebabnya kita memindahkan projek lapangan terbang itu ke tempat yang lain,” katanya. 

Turut sama menjayakan majlis itu ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Kaunselor Liaw Hoe Peng dan Pemanca Tan Yong Hin. EDISI UKAS

add comment