Lebih 600 Penduduk Kampung Lajong & Rumah Maling Nikmati Manfaat Bekalan Air Bersih

KHAMIS, 17 NOVEMBER 2022

SUBIS:  Sebanyak RM4 bilion telah diperuntukan bagi melaksanakan 297 Projek Rakyat di Sarawak. 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, projek-projek itu membabitkan projek sumber air mentah, loji rawatan, sistem agihan, kerja menambah baik dan penukaran paip serta inisiatif pemodenan dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (SAWAS).

Salah satu Projek Rakyat itu ialah Projek Bekalan Air Kampung Lajong dan Rumah Maling Daerah Subis ini. 

“Komponen bagi Kampung Lajong dan Rumah Maling iaitu pemasangan saluran paip baharu sepanjang 16.456km telah berjaya disiapkan dengan kos pembinaan sekitar RM4.14 juta.

“Ini salah satu usaha Kerajaan Sarawak untuk memastikan rakyat menikmati kemudahan bekalan air bersih seperti di tempat lain,” katanya. 

Beliau berucap merasmikan Projek Bekalan Air Kampung Lajong dan Rumah Maling, Daerah Subis di sini pada Rabu. 

Terdahulu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak kerana telah menyediakan bekalan air bersih di kampung ini pada hari ini. 

“Ini merupakan satu lagi kemudahan asas yang telah sampai ke kampung ini dan disediakan Kerajaan Sarawak untuk rakyatnya. 

“Kemudahan lain telah pun disediakan dan ini termasuklah kemudahan seperti jalan raya dan bekalan elektrik,” katanya. 

Lebih 600 penduduk Kampung Lajong dan Rumah Maling di daerah Subis kini telah menerima manfaat apabila siapnya Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Suai Kompleks Fasa 2 ini. 

Hadir sama Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) Ir. Chang Kuet Shian, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Lukanisman Awang Sauni, Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis, Ketua Kaum Kampung Lajong Ahmad Ajak dan Tuai Rumah Maling Maling Gudom. -EDISI UKAS

add comment