Pembangunan Di Kawasan Luar Bandar & Pedalaman Sentiasa Diberikan Keutamaan

KHAMIS, 17 NOVEMBER 2022

BAKONG: Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa memberikan tumpuan dalam pembangunan di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini. 

Menurut Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing, ini dapat dilihat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi ini apabila banyak pembangunan insfrastruktur telah dibina, dinaik taraf dan disiapkan untuk kesejahteraan rakyat. 

“Pada tahun 2015 dan 2016, banyak tempat di kawasan ini insfrastrukturnya belum lagi dinaik taraf. Tetapi, sekarang ini banyak tempat sudah dinaik taraf oleh Kerajaan Sarawak. 

“Saya memohon kepada saudara dan saudari memberi peluang kepada GPS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) supaya kedua-dua pemimpin di kawasan ini dapat merancang pembangunan yang lebih hebat pada masa akan datang,” katanya. 

Beliau berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Thomas Tan, Sungai Teman, Bakong di sini pada Rabu. 

Terdahulu, Timbalan Menteri Perumahan, Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil dalam ucapannya berkata pembangunan di kawasan DUN Marudi ini akan terus dibangunkan di bawah GPS. 

Jelasnya, ini termasuklah masalah telekomunikasi yang sedang dilaksanakan secara berperingkat dan beberapa lagi projek pembangunan yang sedang dirancang. 

Hadir sama calon GPS Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Alexander Asing, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai, Ketua Masyarakat Kaum Iban Daerah Beluru Pemanca Enggah Muga dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS

add comment