Penyediaan Lampu Isyarat Southlake & Vista Perdana Permudah Penduduk Sekitar

KHAMIS, 17 NOVEMBER 2022

MIRI: Penyediaan lampu isyarat berhampiran persimpangan ke kawasan perumahan Southlake dan Vista Perdana adalah untuk memudahkan semua penduduk sekitar kawasan itu.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kemudahan lampu isyarat itu adalah untuk melancarkan pergerakan lalu lintas setempat ketika waktu puncak.

Dalam pada itu beliau turut menyangkal dakwaan beberapa pihak di media sosial yang mendakwa lampu isyarat yang mula beroperasi pada Isnin lalu itu direka semata-mata hanya untuk memenuhi keperluan penduduk kawasan perumahan South Lake yang majoriti rumah kos mewah sahaja.

“Kesesakan lalu lintas teruk yang berlaku di Jalan Miri-Bypass pada Isnin lalu di sepanjang laluan dari Jejambat Pujut hingga persimpangan lampu isyarat Southlake-Vista Perdana itu berpunca daripada kren yang diparkir di tepi jalan dan menghalang laluan pengguna.

“Keadaan lalulintas di Persimpangan Vista Perdana telah menjadi lancar dan tiada masalah pada hari ini dan semalam,”katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menjelaskan lagi, mengenai penyediaan kemudahan hanya untuk Kawasan perumahan mewah itu adalah tidak tepat kerana terdapat di situ terdapat juga penduduk yang mendiami rumah mampu milik.

Dato Sri Lee berkata, menurut laporan statistic dari pihak pemaju Naim Cendera, perumahan Southlake merangkumi 86 peratus rumah mampu milik kos sederhana dan rendah.

Ujar beliau lagi, pihak pemaju Naim Cendera dibawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah mula membina satu akses sementara untuk pengguna yang mahu masuk ke Vista Perdana.

Katanya lagi, mengikut pelan pembangunan, laluan berkembar kekal akan dibina apabila projek perumahan baharu oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dimulakan kelak.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Pengurus Unit Lebuhraya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Zon Utara Siaw Ming Chian dan Pengurus Besar Wilayah Naim Miri Alice Ting.-Edisi UKAS

add comment