Perubahan kerajaan ganggu proses pentadbiran, jejas ekonomi

KHAMIS, 17 NOVEMBER 2022

BINTANGOR: Perubahan dalam kerajaan di mana tiga Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun merupakan kali pertama berlaku dalam negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata keadaan ini serba sedikit banyak mengganggu proses pentadbiran dan ekonomi negara.

Jelasnya, dalam tempoh lima tahun akan datang rakyat perlu memastikan calon yang dipilih mampu untuk mentadbirkan negara khasnya dan daerah Meradong serta Bahagian Sarikei amnya.

“Jadi tarikh 19 November 2022 adalah detik yang sangat penting untuk menentukan kerajaan dan akan menentukan masa depan yang terbaik untuk negara kita.

“Sekali lagi sukar saya ingatkan pilihlah dengan bijak. Pilihlah calon yang mampu bekerja dan mampu untuk membawa banyak pembangunan kepada negeri, daerah dan negara.

“Bukan hanya calon yang pandai berkata-kata tapi tidak mampu untuk membuat perubahan atau pembangunan,” katanya semasa Program Ziarah Jom Mengundi PRU 15 bertempat di Dewan Masyarakat Sosial Sungai Tulai Bintangor pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau berkata seperti yang sudah sedia maklum, kerajaan Sarawak telah mengumumkan cuti khas pada 18 dan 19 November 2022 sebagai persiapan terutama yang dari luar kawasan untuk balik mengundi.

Selain itu, jelas Datuk Ding lagi para pelajar yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah diberikan pelepasan untuk mengundi bermula 17 sehingga 21 November 2022.

“Gunalah peluang yang diberi kepada kita untuk melaksanakan tanggungjawab kita kepada negara.

“Kepada para pengundi baharu, saya ingin menasihati supaya memangkah kertas undi dengan bijak agar kerajaan yang akan datang dapat memimpin negara dengan sebaiknya,” tambahnya.

Turut hadir Pegawai Daerah Meradong Badjuri Bidin, Pegawai Penerangan Daerah Meradong Zaini Morshidi, Pegawai Penerangan Daerah Sarikei Micheal Sabek serta tetamu lain.-EDISI UKAS

add comment