PKS Tulang Belakang Kepada Pembangunan Ekonomi Negara

KHAMIS, 17 NOVEMBER 2022

LAWAS: Golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)  merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara apabila menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di seluruh Malaysia. 

Justeru, menurut Timbalan Premier Sarawa Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, adaptasi inovasi dalam perniagaan adalah pemangkin kepada kemajuan sesebuah perusahaan dan suatu alternatif baru yang telah mendapat perhatian daripada pelbagai pihak di Malaysia.

“Untuk memastikan bentuk perniagaan berinovasi ini diintegrasikan dalam kalangan usahawan Sarawak, MINTRED dan juga Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) telah bekerjasama dalam pelbagai aspek seperti penganjuran program SME Digitise, Go Digital dan juga Hi Tech Transformation Program (HTTPS). 

“Hari ini Pelan Tindakan Se*hebat Sarawak dilancarkan menerusi dengan kerjasama kedua-dua belah pihak,” katanya. 

Beliau berucap merasmikan Pelancaran The Se*hebat Sarawak Blueprint (SDEC) serta Penyampaian Surat Hakmilik Tanah dan Cek Pampasan Tanah, Penyerahan Bantuan Kewangan SME di Hotel Seri Malaysia di sini pada Khamis.

Ujar Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, melalui SDEC, Kerajaan Sarawak komited menyediakan perkhidmatan yang membolehkan dan memangkin pembangunan perusahaan sosial seperti program pembangunan dan pemecutan perniagaan, penyelidikan dan pembangunan produk, ruang inovasi, perkongsian industri, akses ke pasaran antarabangsa, serta pembiayaan dan pelaburan. 

“Ini seiring dengan visi Kerajaan Sarawak untuk mencapai Kemakmuran Ekonomi, Masyarakat Inklusif dan Kelestarian Alam Sekitar seperti yang disasarkan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.

“Dengan ini, Pelan Tindakan SE*HEBAT Sarawak bertujuan untuk menyokong pertumbuhan Perusahaan Sosial di Sarawak melalui usahasama antara agensi dan pihak berkepentingan daripada pelbagai bidang dan sektor,” ujarnya. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Economic Corporation Berhad Sudarnoto Osman, Ketua Bahagian Pembangunan Usahawan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, industri dan Pelaburan Sarawak Sayed Ismail Dato Sri Wan Hashim, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Penguasa Tanah dan Servey Bahagian Limbang Awang Nazri Awang Saperi dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).-EDISI UKAS

add comment