PRU15: GPS Akan Terus Perhebatkan Pembangunan Sarawak

KHAMIS, 17 NOVEMBER 2022

LIMBANG: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memastikan pembangunan di negeri ini diperhebatkan bagi memastikan Sarawak terus membangun.  

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, untuk itu Sarawak bukan sahaja memerlukan kestabilan politik semata-sata tetapi juga memastikan suara rakyat Sarawak terus didengari di Parlimen nanti. 

Jelasnya, apabila suara Sarawak didengari maka akan lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan pada masa akan datang untuk rakyat. 

“Kita mahu daerah Limbang dan Lawas terus membangun. Oleh sebab itu politik kita menumpukan sepenuh tenaga kepada usaha membawa pembangunan. 

“Premier Sarawak berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan pendapatan negeri kita yang sekaligus menambahkan lagi peruntukkan dalam pembangunan negeri. 

“Malah, Kerajaan Sarawak juga sangat proaktif dalam melaksanakan projek infrastruktur dan pelbagai pembangunan,” katanya. 

Beliau berucap merasmikan Pelancaran Projek Bekalan Air Luar Bandar Dari Pengkalan Jawa-Bawang Obor ke Simpang Rumah Jubang di Rumah John Nunong, Kampung Kelati di sini pada Khamis. 

Projek ini melibatkan 18 buah rumah panjang termasuk dua buah sekolah yang akan memberi manfaat kepada 3,593 orang penduduk di kawasan tersebut. 

Jelas Datuk Amar Awang Tengah lagi, projek ini akan disambung terus dengan loji air di Berawan dan merupakan salah satu daripada 160 projek yang di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) di bawah Kerajaan Sarawak.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak juga akan melaksanakan projek bekalan air di Medamit yang juga menghubungkan beberapa kawasan rumah panjang dan sekolah yang disambung dengan loji air di Berawan sekaligus menambah kapasitinya. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Limbang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datu Ismawi Ismuni, Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Tuai Rumah John Nunong.-EDISI UKAS

add comment