PRU15: GPS Tidak Tawarkan Janji Kosong

KHAMIS, 17 NOVEMBER 2022

MIRI: Seramai 150 penduduk dari Long Panai telah menerima lot tanah di bawah Seksyen 18.

Menurut Timbalan Menteri Buruh Imigresen dan Pemantauan Projek Datuk Gerawat Gala, ini membuktikan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan menawarkan janji kosong.

Ujarnya lagi, slogan ‘Sarawak First’ amat bertepatan dan sinonim dengan GPS yang diketuai Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. 

“Minifesto GPS inginkan Sarawak mempunyai politik yang stabil, penduduk yang hidup harmoni, kerajaan yang membantu rakyat dan memajukan negeri.

“Dalam masa yang sama, Sarawak juga mempunyai hak untuk menghalang golongan-golongan yang rasis dan ekstream dari memasuki negeri ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Himpunan Mesra Komuniti Mulu di Piasau Boat Club Miri pada Selasa. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menyeru pengundi memberikan sokongan kepada calon GPS Dato Anyi Ngau agar memperolehi majoriti menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini. 

Program Himpunan Mesra Komuniti Mulu ini diadakan bertujuan sebagai persediaan sebelum pengundi dari Bandaraya Miri ini pulang ke kampung masing-masing.

Turut hadir, Pengerusi Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan DUN Mulu Datin Easter Mujan Balan, Timbalan Pergerakan Wanita PBB Cawangan DUN Mulu merangkap Pengerusi Program Datin Catherine Awing Wan, Timbalan Ketua Cawangan PBB DUN Mulu Dato Robert Laing Anyi, Ahli Majlis Daerah Marudi Kaunselor Gary Hasim dan Kaunselor Yanti Nyanggau serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kawasan Tutoh.-EDISI UKAS

add comment