KHAMIS, 17 NOVEMBER 2022
LIMBANG: Rakyat Sarawak harus bersama mempertahankan keutuhan politik di negeri ini demi masa depan rakyat Sarawak.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, sekarang ini Sarawak berdiri di atas kaki sendiri, dan kitalah yang akan menentukan hala tuju Sarawak serta merancakkan pembangunan.
“Selain itu kita boleh memelihara perpaduan dan keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang kaum.
“Kita juga boleh membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup mereka, memikirkan bagaimana kita hendak menarik pelabur dari luar mahupun dari dalam. Bagaimana kita merancang untuk menyediakan masa depan yang lebih baik kepada generasi muda.
“Itulah yang akan dilaksanakan dan diperjuangkan oleh parti kita Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Utamakan Sarawak Peringkat Parlimen Limbang di Dewan RPR Batu Biah, Limbang baru-baru ini.
Jelasnya lagi, bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, Sarawak pertama kali bertanding atas landasan sendiri menggunakan lambang GPS.
Justeru, beliau mahu jumlah kerusi GPS lebih banyak agar suara Sarawak lebih kuat di Parlimen kerana banyak lagi yang hendak kita perjuangkan termasuklah hak-hak Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Calon GPS Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang.-EDISI UKAS