Chiu Sing Sebagai ‘Kambing Hitam’, Sebar Khabar Angin Tidak Tepat Tentang Pelaburan PKFZ

JUMAAT, 18 NOVEMBER 2022

BINTULU: Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing mengecam sekeras-kerasnya tindakan Chiew Chin Sing yang menyebar khabar angin berhubung prestasi keuntungan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di saat semua pihak sedang bergelut dengan pasca pandemik dan proses pemulihan ekonomi. 

Jelas beliau, tindakan Chiu Sing itu dilihat cuba memainkan peranan sebagai ‘kambing hitam’ dengan menyebarkan khabar angin yang tidak kondusif mengenai pelaburan asing dan berikrar untuk memastikan agar rakyat menyokong “Dinasti Chiew”. 

Baru-baru ini, Chiew Chin Sing memburuk-burukkan PKFZ dalam pelbagai majlis bagi meraih undi dan sokongan untuk anaknya, Tony Chiew Chan Yew. 

Katanya, Chiew Chin Sing hanya tahu memperkecilkan PKFZ, tetapi sama sekali tidak menyentuh keuntungan ekonomi PKFZ.

“Ini termasuk operasi zon perdagangan bebas sejak 2005 yang berjaya menarik pelaburan sebanyak RM7 bilion, pelaburan domestik dan asing, tanah komersial dengan kadar penghuni 100 peratus, industri ringan dan lain-lain lagi,” katanya menerusi kenyataan media pada Khamis. 

Ujar Dato Sri Tiong lagi, PKFZ telah menjadi bahan untuk melempiaskan niat buruk Chiew Chin Sing. 

“Beberapa laporan berita kewangan berkali-kali menyebut bahawa kadar pulangan PKFZ telah menyumbang dengan kadar yang tinggi kepada pertumbuhan ekonomi pelabuhan. Adakah Chiew Chin Sing tak baca berita atau membuat kajian?,” soalnya lagi. 

Jelas beliau, jika perkara ini terus diamalkan pelabur asing akan membatalkan hasrat untuk melabur di Malaysia. 

“Ini secara tidak langsung menjadi batu penghalang dan akan melambatkan proses pemulihan ekonomi negara yang pada asalnya sedang bergerak lancar. 

“Ia turut membuktikan DAP sedang mencuba untuk memusnahkan ekonomi negara dan mendorong rakyat ke dalam kesempitan,” jelas beliau lagi. 

Menurut Dato Sri Tiong, Chiew Chin Sing tidak menunjukkan teladan yang baik kepada generasi muda. 

Malah, katanya, Ronnie Liu juga dari DAP turut memberitahunya bahawa beliau amat kecewa dan malu dengan tindakan itu. 

“Pemimpin DAP itu memainkan pelbagai isu hanya untuk mendapatkan sokongan rakyat.

“Saya harap beliau akan lebih berhati-hati selepas ini sebelum mengeluarkan kenyataan,” katanya. 

Tambah beliau lagi, anak (Tony Chiew Chan Yew) mungkin mahir dalam sesuatu perkara, tetapi itu bukan lesen untuk anda menabur pasir ke dalam periuk nasi orang lain.

Mengulas lanjut, katanya, beliau tidak kisah jika Chiew Chin Sing ingin membuat sebarang dakwaan palsu, tetapi perlu hadapi sebarang kesan pada masa akan datang termasuk tindakan undang-undang. 

Jelasnya lagi, beliau sudah lama terbiasa dengan muslihatnya yang tidak bertanggungjawab dan tidak senonoh untuk menghasut rakyat.

“Saya tidak perlu tunjuk bukti kepada dia kerana ketika beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu sejak 2001, apa yang telah dilakukan untuk Bintulu? 

“Apakah pencapaian politik yang boleh dikongsikan dengan rakyat? Adakah sistem perparitan di daerah ini sedang dinaik taraf untuk menangani isu banjir? Pasti beliau sendiri sempat melihat perkembangan sistem pemparitan itu,” soalnya. 

Malah, Dato Sri Tiong turut mengingatkan jika Chiew Chin Sing ingin “menyerangnya’ berhubung beberapa isu seperti pelan rancangan sungai, adalah lebih baik jika beliau mengambil inisiatif untuk berkomunikasi secara aktif dengan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Sarawak (HDC) untuk mendapatkan perkembangan terkini dan susulan terhadap apa yang telah dilakukan.-EDISI UKAS

add comment