Penglibatan Masyarakat Dalam Bidang Perniagaan Dan Keusahawanan Amat Diperlukan

KAPIT: Penglibatan masyarakat dalam bidang perniagaan dan keusahawanan amat diperlukan, demi merealisasikan Sarawak sebagai sebuah negeri berekonomi maju menjelang tahun 2030.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, para usahawan dan bakal usahawan seharusnya berani untuk meceburkan diri dalam pelbagai bidang perniagaan kerana bidang-bidang perniagaan tersebut mempunyai permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Justeru katanya, ekosistem keusahawanan juga perlu diwujudkan di sesebuah kawasan agar dapat memenuhi permintaan yang diperlukan oleh masyarakat setempat.

“Oleh itu, saya ingin menyeru masyarakat tempatan terutama sekali usahawan atau bakal usahawan untuk mendaftar perniagaan mereka bersama agensi-agensi berkaitan.

“Tujuan pendaftaran perniagaan ini adalah bagi memudahkan para usahawan untuk mendapat bantuan-bantuan perniagaan yang disediakan oleh pihak kerajaan mahupun pihak swasta.

“Selain itu, menjalankan perniagaan secara teratur juga dapat melahirkan usahawan yang maju dan berdaya saing sekali gus melahirkan usahawan yang berjaya dalam bidang yang mereka ceburi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) Song, bertempat di Pekarangan Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) Song pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata kewujudan PIBU membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan sekali gus akan memberi impak positif yang akan meyumbang kepada peningkatan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat.

“PIBU juga berperanan sebagai pusat rujukan dan bimbingan kepada peserta yang berdaftar di bawah program inkubator ini.

“Jadi masyarakat di daerah Song amat beruntung kerana dapat fasiliti yang disediakan untuk membantu usahawan menjalakan aktiviti keusahawanan secara teratur,” jelasnya.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Dan Komuniti Nikk Adam Abdillah dan Pegawai Daerah Song Harry Bruce Edwin.-EDISI UKAS

add comment